Wednesday 22 March 2017

Pakatan HARAPAN Perlu Jelas Hala Tuju


Sejak tertubuhnya Pakatan Harapan hala tuju parti tersebut masih lagi samar.Kehadiran parti itu dalam kancah politik Malaysia dilihat masih terumbang-ambing dan mereka sehingga ke hari ini masih lagi tercari-cari identiti memandangkan persaingan besar yang wujud sesama pembangkang dalam Pakatan Harapan.

Kewujudan Pakatan Harapan di Pulau Pinang khususnya bolehlah dianggap sebagai pelengkap politik kepada DAP kerana penguasaan penuh parti DAP terhadap parti-parti lain begitu jelas.Tidak ada mana-mana parti lain dalam Pakatan Harapan yang mampu bangkit sama ada memperbetulkan atau menegur kerajaan negeri pimpinan DAP kerana pentadbirannya tidak boleh disentuh.

Kesannya banyak dasar-dasar kerajaan negeri dilihat berat sebelah dan banyak isu membabitkan kepentingan rakyat gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan DAP yang lebih terarah kepada usaha untuk mengaut keuntungan melalui projek-projek mewah.

Jika wakil parti-parti yang bersekongkol dalam pentadbiran kerajaan DAP di Pulau Pinang mampu bersuara dan diberikan ruang oleh DAP maka isu-isu membabitkan pencemaran sungai , banjir kilat , perumahan mampu milik , pengenalan surcaj , kesesakan trafik , perobohan gerai yang tidak seimbang , penjualan tanah kepada warga asing dan banyak lagi rasanya boleh dielakkan.

Soalnya apakah parti-parti lain itu berkemampuan atau sekadar menumpang ?

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican , mencabar Pakatan Harapan agar mendaftar secara sah sebagai sebuah pertubuhan dan melantik pengerusi supaya rakyat dapat melihat dengan jelas hala tuju mereka.

Beliau berkata rakyat mahu melihat sebuah pertubuhan yang mampu menawarkan sesuatu yang terbaik untuk mereka dan bukan sekadar menabur janji palsu.

"Kalau Barisan Nasional (BN), kita ada Perdana Menteri (sebagai pengerusi), BN adalah sebuah pertubuhan yang tulen dan tidak hipokrit," katanya selepas menyampaikan Sijil Kelayakan Subsidi dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 28 penerima bagi Parlimen Kepala Batas di Kepala Batas, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri luar dan anggota Parlimen Kepala Batas berkata kerajaan BN juga tidak berpecah belah seperti HARAPAN dan sentiasa mempunyai kerjasama yang erat di antara parti-parti komponennya sejak sekian lama.

Kenyataan daripada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang itu dilihat tepat sekali memandangkan kehadiran Pakatan Harapan misalnya dilihat bukan sahaja gagal menjadi pembela rakyat tetapi lebih kepada sekumpulan orang politik yang dipergunakan oleh DAP untuk kepentingan politik mereka.

0 comments:

Post a Comment