Thursday 23 March 2017

Alasan Kerajaan DAP Lewat Laksana Projek Terowong & 3 Jalan Raya Utama Tidak Munasabah



YB Datuk Sr Muhammad Farid Bin Saad
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Kawasan Pulau Betong

Khamis 23 Mac 2017

Kelewatan Pelaksanaan 3- Jalan Raya Utama Projek dan Terowong Bawah Dasar Laut

Alasan-alasan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Terowong Bawah Dasar Laut dan 3- Jalan Raya Utama adalah sangat tidak munasabah.

Perjanjian Projek Terowong Bawah Dasar Laut dan 3 Jalan Raya Utama telah ditandatangani pada 2013. Projek ini dijangka akan membelanjakan wang rakyat Pulau Pinang berjumlah RM 6.3 billion.

Pada masa perjanjian itu ditandatangani, kita dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa Kajian Kebolehlaksanaan dijangka siap pada April 2014 dan dapatan kajian tersebut akan diumumkan kepada orang ramai.

Pembinaan pakej Jalan Teluk Bahang- Tanjung Bungah sepanjang 12 km dijangka bermula pada Suku Pertama Tahun 2015 dan dijangka siap pada penhujung tahun 2017; manakala pembinaan pakej Air Itam ke Lebuhraya Lim Chong Eu sepanjang 4.2 km pula akan bermula pada Suku Pertama 2016 dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2018.

Namun begitu, tarikh permulaan pembinaan tersebut telah ditangguhkan dan diberitahu projek akan hanya bermula pada awal tahun 2016.

Kemudian kita diberitahu bahawa Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci untuk 3 Jalan Utama telah siap tetapi pembinaannya akan hanya bermula pada pertengahan 2016 dan bukannya pada awal 2016 sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Walau bagaimana pun, pada Julai 2016 kita diberitahu pula bahawa perlaksanan projek akan ditangguhkan hingga awal tahun 2017 kerana kontraktor projek tidak pasti jika rekabentuk jalan raya mereka boleh menampung penyuraian air ribut atau “storm water dispersal” dengan sempurna dan kajian seterusnya perlu dilakukan terhadap rekabentuk tersebut.

Pada Disember 2016, kita diberitahu bahawa akan ada lagi penangguhan projek kerana Konsortium yang dilantik untuk melaksanakan projek telah mendapati bahawa sebahagian tanah dalam cadangan jajaran 3 jalan raya utama tersebut dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri. Pandai sungguh mereka mencari alasan. Rekabentuk telah dimulakan beberapa tahun yang lalu dan yang pastinya bermula dengan membuat kerja ukur. Malang sungguh kerana baru sekarang tersedar tentang pemilikan tanah tersebut. Pengambilan balik tanah-tanah yang terlibat hanya boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri. Kos tambahan untuk pengambilan balik tanah juga tidak pernah dimaklumkan kepada umum.

Apakah kos ini sudah termasuk dalam jumlah RM6.3 billion tersebut atau ia adalah kos tambahan yang perlu ditanggung oleh rakyat Pulau Pinang? . Berapa luas lagi tanah milikan kerajaan negeri akan diberikan kepada konsortium ini. Lot tanah yang digunakan sebagai sebahagian daripada pembayaran kepada konsortium itu telah pun ditukar nama dan telahpun diberikan kelulusan pembangunan.

Kenapa perlu ambil masa lebih 4 tahun dan membayar beratus-ratus juta Ringgit untuk kos Kajian hanya untuk menyedari bahawa tanah dalam jajaran jalan raya yang dicadangkan itu bukan milik Kerajaan Negeri?

Apakah EXCO Tanah yang juga Ketua Menteri tidak tahu mengenai perkara ini sebelum menandatangani perjanjian dengan Konsortium?

Terkini Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa Fasa Pertama Projek 3- Jalan Raya Utama akan hanya bermula pada pertengahan tahun 2018, atau untuk lebih mudah faham selepas Pilihanraya Umum ke 14.

Apakah jalan raya- jalan raya yang sepatutnya akan siap pada tahun 2017 dan 2018 akan hanya mula dibina pada pertengahan tahun 2018?

Kegagalan Konsortium yang dilantik Kerajaan Negeri melaksanakan projek terowong dasar laut dan 3 jalan raya utama ini menunjukkan dengan jelas “incompetency” Kerajaan Negeri sendiri dalam melaksanakan projek mega, manakala kegagalan Kerajaan Negeri menjelaskan dan memaklumkan dengan terperinci butiran perjanjian kontrak kepada umum jelas membuktikan Kerajaan Negeri tidak transparens atau telus.

Apakah kita boleh yakin dengan kemampuan Kerajaan Negeri melaksanakan projek mega PIPPP yang lebih besar dan dijangka menelan belanja lebih RM 40 billion?

Rakyat telah penat menunggu dan letih  mendengar janji kerajaan negeri.

Terima kasih

0 comments:

Post a Comment